Thursday, 19 February 2015

Wahai puteriku........ aku seorang bapa yang sedang
berjalan memasuki usia lima puluh tahun.
Usia muda telah aku lewati, aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian
dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan Haq yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.
Wahai puteriku, banyak aku menulis, sering aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak,
menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu
syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.

Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku menjadi kelu. Namun, tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.

Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu pun negara Islam yang mampu mengelak.

Sebagai contoh Negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yang sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang Masya-Allah!!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya?

Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu
jalannya.

Wahai puteriku,pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau
menyakininya dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah dan menjadi baik.

Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa, bukan wanita.
Tetapi ingat!
Bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah maju.
Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.
Engkau berkata kepada pencuri:
"Silakan masuk".......
dan setelah engkau kecurian barulah tersedar.

Ketika itu barulah engkau berteriak
"Tolong tolong.......aku kecurian".

Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari
seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.

Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki itu adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan
sentiasa menjaga diri seperti waspadanya seorang yang kikir terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar daging kambing dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.

Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu....... iaitu harga diri dan kehormatanmu.
Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Wahai puterikuDemi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu
telanjang di hadapannya tanpa pakaian.

Aku bersumpah lagi: "Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab". Bohong....... bohong....... Bohong...... demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan di antara mereka, pasti engkau akan takut dan ngeri.

Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak- tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.

Apakah sesudah itu wahai puteriku???
Renungkanlah!!!

Kamu berdua, bersama-sama berasmara, menikmati kelazatan yang hanya sebentar kau rasakan sesudah itu, dia lupa dan pergi meninggalkan engkau.
Dan engkau...., akan merasakan pahitnya daripada pertemuan yang sebentar itu untuk selama-lamanya.

Dia pergi dengan diam-diam meninggalkanmu, mencari mangsa baru untuk dirayu dan diterkam lagi kegadisannya. Sambil dia mencari dan menikmati mangsa baru, engkau perlahan-lahan merasakan sesuatu yang berat menganjal di perutmu.
Engkau sedih dan muram.
Engkau bingung dan gelisah.

Lelaki yang membesarkan perutmu itu tidak dituntut atau dihukum oleh masyarakat yang zalim, bahkan... diberi keampunan dan dibiarkan bebas dengan alasan:

"Dia yang dahulu sesat, tetapi sekarang sudah bertaubat".
Tapi engkau?

Engkau akan terus kecewa dan terus dihina sepanjang usiamu. Masyarakat tidak akan mengampuni
dosamu.

Seandainya ketika dia mula merayumu, engkau tolak dengan sikap yang tegas...
Engkau alihkan pandanganmu dari pandangannya

Seandainya sikapmu itu tidak menghentikan usahanya dan malah bersikap lebih biadap dengan mengucapkan kata-kata yang jelik dan menggunakan tangannya, cepat-cepat engkau tanggalkan kasut dari kakimu dan pukullah kepalanya
Kalau engkau lakukan itu, pasti semua orang yang ada di sekitar tempat itu akan serentak menolongmu.
sudah itu...., dia akan ngeri mengganggu wanita terhormat di jalan.

Wahai puteriku.......
Lelaki yang baik dan soleh, akan datang kepadamu, dengan segala kerendahan hati, memohon kemaafan, menawarkan kepadamu hubungan yang halal dan terhormat. Dia datang untuk meminang dan mengahwinimu.

Seorang gadis betapapun tinggi kedudukannya, betapapun banyak hartanya, betapapun hebat kebenaran dan pengaruhnya, dia pasti mempunyai cita-cita:
"Mencapai kebahagiaan yang tinggi iaitu bersuami, menjadi isteri yang solehah, terhormat dan ibu rumahtangga yang baik".
Cita-cita seperti itu pasti diharapkan oleh semua wanita tak kira sama ada dia seorang ratu, keluarga
raja, bintang filem Hollywood ataupun wanita biasa.

Aku mengenali dua orang sasterawati dari Mesir dan Syria. Kedua-duanya bergelar tokoh. Ilmunya dikagumi, kekayaanya melimpah ruah, tinggi kedudukan dan kehormatannya. Kedua-duanya telah kehilangan suami, namun tiba-tiba hilang keseimbangan akalnya....... dan menjadi gila. Tak perlu aku sebutkan namanya, pasti semua orang Mesir dan Syria sudah mengenalinya.

Perkahwinan adalah cita-cita yang paling tinggi bagi wanita. Jawatan wanita yang tinggi sama ada sebagai anggota parlimen, menteri atau bahkan sebagai presiden, tahapnya tetap berada di bawah perkahwinan.

Lelaki, pada dasarnya akan mencari wanita terhormat dan bukan wanita jalang atau rosak akhlaknya. Seandainya seorang lelaki bertunang dengan wanita yang baik tetapi wanita itu tiba-tiba berubah akhlaknya, menyeleweng dan masuk ke dalam perangkap nista, pasti dengan segera lelaki itu pergi meninggalkannya. Dia akan tegap melangkah keluar.

Lelaki yang baik, pasti tidak rela melihat anaknya keluar dari rahim ibu yang keji dan apatah lagi untuk membesarkan dan memelihara anaknya.

Seorang pemuda jalang yang rosak dan menjijikkan, apabila tidak mendapati mangsa gadis yang mahu mengorbankan kehormatan dirinya di bawah tapak kakinya dan menjadi alat permainannya dan apabila dia juga tidak memperolehi wanita pelacur atau gadis lalai yang rela dikahwini dengan agama syaitan dan iblis serta mengikut syariat binatang, pasti dia akan mencari jodoh dengan seorang isteri yang perlu dinikahi dengan landasan sunnah dan syariat Islam.

Puteriku....., suasana sepi dan lesunya pasar pernikahan dan perkahwinan, penyebabnya adalah kerana kesalahanmu sendiri.

Jatuhnya pasaran dan nilai perkahwinan dan semakin pesat bursa pelacuran juga
adalah kerana perbuatanmu!

Lantas, kenapa kamu yang berakhlak mulia tidak mencegahnya?
Kenapa para wanita yang mulia dan terhormat tidak memerangi musibah dan wabak itu?

Kamu, para wanita tentu lebih berkebolehan dan berkemampuan bertindak daripada kaum lelaki.
Kamu sebagai wanita terhormat, mulia, memiliki harga diri dan memegang teguh agama, pada akhirnya
akan menjadi mangsa dan korbannya.

Hampir di setiap rumah di negeri Syam terdapat gadis-gadis pada usia yang layak berkahwin belum
mempunyai calon dan gadis yang sudah lewat usianya belum juga bersuami.


Para pemudanya merasa puas dengan hanya berpacar-pacaran dan bergaul bebas daripada beristeri.
Mungkin keadaan seperti ini juga terdapat di negara-negara Islam yang lain.

Wahai puteriku.......
Dirikanlah wadah dalam bentuk lembaga dan persatuan dari kalangan kamu sendiri yang anggotanya
terdiri daripada para cendiakawan, guru dan mahasiswi. Wadah yang berusaha untuk mengembalikan wanita-wanita sesat kepada jalan kebenaran.

Ancam dan takutkan mereka dengan firman-firman Allah. Sekiranya mereka tidak mahu mendengar dan
tidak rasa takut lagi, maka berilah gambaran bahaya penyakit yang akan dideritainya.

Kalau mereka tidak juga peduli, berikan penjelasan dan contoh-contoh kenyataan yang ada, katakan
kepada mereka:

"Anda remaja cantik, ramai pemuda yang tertarik dan mengharapkan anda. Kecantikan anda seperti
sekarang ini apakah akan terus bertahan?

Bagaimana nasib anda nanti setelah tua?
Ketika muka anda sudah kerepot dan badan membongkok?
Siapakah nanti yang akan menguruskan anda?
Siapakah ketika itu akan memperhatikan nasib anda?
Tahukah anda, siapa yang akan menghormati dan memuliakan orang tua yang tidak berdaya lagi?
Hanya anak dan cucu-cucunya!

Di tengah-tengah mereka, orang tua sepertinya menjadi ratu di antara rakyat, bermahkota, duduk di singgahsana.
Bagaimana nasib anda nanti jika terus begini?
Bagaimana derita anda di kemudian hari?
Anda lebih tahu dari kami.

Cuba anda renungkan...

"Apakah boleh disamakan lazatnya berhubungan yang sebentar sahaja nikmatnya
itu dengan penderitaan-penderitaan anda?
Apakah patut, harga kegadisan anda dibayar begitu murah dan penderitaan anda setelah itu ditebus
dengan harga sebegitu mahal?

Saya rasa, anda cukup mampu mengarahkan dan memberi petunjuk pada kawan-kawan yang tersesat dan perlu dikasihani. Saya tidak perlu berlama-lama memberi bimbingan kata kepada anda. Saya yakin anda sendiri tentu telah mempunyai banyak bahan untuk melakukan penyelamatan.
Sekiranya segala usaha penyelamatan yang dilakukan kepada mereka tidak membawa hasil. Ya cukuplah....... anda perlu menukar sasaran. Lakukan penyelamatan kepada mereka yang belum terkena. Cegah mereka dari serangan penyakit menular itu. Pada umumnya, penyakit seperti itu mudah menyerang wanita- wanita lalai dan gadis yang menginjak dewasa. Bimbinglah mereka agar tidak tersesat jalan.

Apa yang anda lakukan adalah secara bertahap. Saya tidak mengharapkan anda mengajak para wanita Islam melakukan perubahan yang drastik, sekali nasihat terus berubah menjadi muslimah sejati. Segalanya hendaklah dengan wajar, perlahan dan mencapai sasaran.

Biasanya, adalah mustahil dengan memberi sekali kefahaman kemudian dapat mengubah haluan. Kembalikanlah dia kepada kebaikan selangkah demi selangkah, sebagaimana dia sebelumnya sedikit demi sedikit menuju kepada kejahatan.

Kamu semua sedikit demi sedikit memendekkan pakaian, di kaki dan di tangan. Kamu juga menipiskan kain tudung. Dan prosesnya berjalan perlahan-perlahan selama berabad-abad.

Sebaliknya, kaum lelaki tidak melihat dan merasakan perubahan itu seperti apabila kita perhatikan jam dinding, kita dapat lihat jarum pendek seolah-olah tidak bergerak.
Tetapi apabila anda datang setelah dua jam anda akan melihat jarum itu bergerak. Begitu juga peralihan dari masa kanak-kanak menjadi remaja dan usia muda kepada tua, seolah-olah tidak boleh diikuti dengan indera.

Demikanlah juga berubahnya satu umat manusia, dari satu keadaan kepada keadaan lain yang berlaku secara berperingkat.

Majalah dan suratkhabar perosak akhlak terus beredar dan semakin meluas.

Para penganjur kerosakan moral bersorak gembira kerana berjaya meraih kemenangan besar dalam pertandingan. Kini, kita telah sampai pada batas yang tidak lagi diredhai islam.

Jika anda membaca sejarah, anda tidak akan menemui keadaan seperti ini.
Bahkan kaum majusi pun tidak mengenali kebebasan yang sedemikian itu.
Binatang yang tidak mempunyai akal pun, tidak sehina manusia masa kini.
Dua ayam jantan akan bersabung mempertaruhkan nyawa untuk berebut ayam betina demi menjaga kehormatannya.

tetapi manusia, dengan dalih kebebasan mengorbankan harga dirinya.

Dijual dengan harga yang murah tubuh dan kehormatannya.
Kita ambil contoh yang dekat saja, tak perlu melangkah jauh ke negera-negara Barat.
Kita pergi ke pantai dan lihat betapa wanita-wanita muslimah mempertontonkan tubuhnya. Hampir seluruh tubuhnya diperlihatkan. Kecuali dua bahagian yang tertutup. Malah ada yang lebih berani membuka bahagian atasnya. Tontonan seperti itu ada di mana-mana. Di negara muslim atau di negara yang majoritinya muslim.

Di tempat pesta atau kelab malam di mana keluarga "moden" datang, menari berganti pasangan, saling bertukar isteri untuk bergoyangan dan berpelukan, berhimpitan dada, perut dan menggenggam tangan. Tidak ada perasaan malu dan memberi harga kepada diri mereka sendiri.

Di sekolah atau universiti, terdapat juga pergaulan bebas. Para puteri membuka sebahagian aurat tanpa pencegahan ibu bapanya.
Contoh-contoh seperti yang aku sebutkan itu hanyalah sebahagian dari fenomena yang berlaku.
Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang beraneka ragam yang pasti anda juga melihatnya. Semua itu tak mungkin diubah sekelip mata. Maka kita memerlukan cara khusus dan proses waktu untuk menghilangkannya. Jalan yang tepat yang perlu ditempuhi adalah kembali kepada hak dan kebenaran dengan melalui jalan yang boleh membawa kepada kebaikan. Jalan tersebut memang memakan masa yang lama dan lambat. Tetapi itulah satu-satunya jalan yang mesti dilalui.

Usaha awal kita ialah membanteras pergaulan bebas dan pembukaan aurat. Bagi wanita yang bergaul bebas tetapi masih memakai tudung dan menutup aurat, penggarapannya lebih mudah. Mereka yang bertudung diusahakan agar tudung dan pakaian muslimah yang dipakainya tidak diniatkan untuk meningkatkan kecantikan dan menggoda lelaki.

Perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai pergaulan bebas adalah:
Seorang wanita menerima tetamu lelaki di rumahnya.
Manakala di tempat umum, berjabat tangan dengan lelaki yang bukan muhrimnya.
Bersama-sama pergi atau pulang dari sekolah (kuliah, berbual secara bebas, berkumpul dengan dalih belajar bersama).
Semua itu tergolong dalam pergaulan bebas.

Dan ini merupakan sumber malapetaka kehancuran akhlak.
Cara pergaulan seperti itu dianggapnya biasa.

Dia lupa bahawa Allah menciptakannya sebagai wanita dan yang lain ialah lelaki.
Masing-masing mempunyai kecenderungan dan daya tarikan. Tidak ada satu makhluk di muka bumi ini yang dapat mengubah ciptaan Allah atau membuat persamaan di antara keduanya ataupun menghilangkan kecenderungan (hasrat) dari pihak masing-masing.

Wanita-wanita menganjurkan persamaan hak dan pergaulan bebas, menuntut persamaan di atas dasar kemajuan dan tuntutan zaman adalah pembohong besar. Mereka sebenarnya hanya mencari kepuasan nafsu sahaja. Mereka beranggapan, bahawa kaum lelaki lebih mendapat kenikmatan daripada wanita. Kerana itu mereka berusaha untuk merasakan kenikmatan itu.

Mereka tidak berani untuk menyatakan secara terang-terangan.
Mereka sembunyikan hasrat itu dan yang ditonjolkan ialah isu "tuntutan zaman", "seni dan budaya", "kehidupan kampus", "alam mahasiswa atau pelajar", "semangat kesukanan".

Mereka gembar-gemburkan perkara ini seperti suara beduk kosong yang tidak membawa sebarang pengertian.

Hak yang mereka tuntut adalah batil. Mereka menjadikan Amerika dan Eropah sebagai kiblat dan pemimpin kemajuan.
Apa-apapun yang datang dari sana maka itu adalah baik dan tepat.

Eropah mengirimkan tarian, diterima!

Mengirimkan model pakaian telanjang, ditiru!

Percampuran bebas di kampus, mempertontonkan paha dan dada di kolam renang dan tepi pantai dipandang wajar.

Sebaliknya, yang datang dari timur dipandang jelik dan batil, walaupun itu adalah pancaran dari suara masjid, bimbingan dan tuntunan agama, kehormatan dan harga diri, kebersihan dan kemuliaan jiwa, hati dan jasmani serta penutupan aurat sebagai pelindung dan harga peribadi muslimah.

Kita sebagai orang timur menerima mentah-mentah apa yang datang dari barat. Tapi sebahagian orang barat menolak "produknya" sendiri.
Masyarakat Eropah dan Amerika, sebahagiannya menolak pergaulan bebas. Mereka sangat menjaga pergaulan anak-anaknya.

Di Paris, kebanyakan orang tua melarang puterinya keluar bersama pemuda untuk ke pawagam misalnya. Ada juga yang muak jika menonton filem lucah.

Di Amerika, ramai orang tua yang memilih sekolah khusus untuk puteri untuk anak-anak gadisnya. Mereka takut untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah yang bercampur dengan pemuda. Mereka juga mengawal jika puteri-puterinya pergi berenang.


APAKAH PERGAULAN BEBAS DAPAT MEMBENDUNG GELOJAK NAFSU SYAHWAT?
Mereka menjawab: "Boleh! Pergaulan bebas boleh mengurangkan atau memadam api nafsu yang membara, boleh mendidik untuk berlaku sopan dan berbudi pekerti "mulia" dan boleh mengurangkan gelojak dorongan nafsu.

Jawapan itu aku kembalikan kepada mereka yang telah mempraktikkannya.

Kita tanyalah kepada pelajar sekolah yang bercampur dan sekolah yang berasingan di antara kedua-dua jantina ini.
Rusia, negara yang tidak mengenali agama dan tidak pernah mendengar nasihat-nasihat ulama, paderi
atau pendeta kini mengubah haluan setelah melihat kesan negatif dari pergaulan bebas.

Amerika, negara yang dijadikan kiblat kemajuan, telah dipeningkan oleh ramainya siswi-siswi hamil yang jumlahnya terus meningkat.
Lalu, di manakah buktinya yang nyata jika pergaulan bebas akan memberikan jawapan seperti di atas?
Dan siapa yang selesa melihat kesulitan seperti di Amerika itu terjadi di negara kita?
Apa yang aku tulis ini bukanlah ditujukan kepada pemuda.

Para pemuda pasti menolak dan mengambil mudah pendapatku ini.
Kerana aku mengharamkan apa yang menurut mereka enak dan lazat.
Aku hanya berbicara kepada engkau wahai puteri-puteriku yang suci, mulia dan terhormat.
Kerana engkaulah yang bakal menerima akibat, engkau yang bakal menjadi korban kepada pengikut-pengikut iblis.

Janganlah engkau mudah menerima pandangan orang-orang yang berdalih dengan
"Persamaan dan Kebebasan",

"Kemajuan dan Modenisasi",

"Kebudayaan dan Kesenian",

"Kehidupan Kampus",

"Alam Pelajar dan Mahasiswa".

Orang-orang seperti itu kebanyakannya tidak mempunyai isteri atau anak. Mereka hanya akan menjilat dan mengemam kelazatanmu untuk seketika, kemudian berlalu pergi meninggalkan engkau.
Aku, adalah ayah kepada beberapa orang puteri.
Aku menulis pesanan ini adalah untuk membela kepentinganmu, ini bererti aku juga membela kepentingan puteriku sendiri.
Aku menghendaki yang baik kepada kamu, sebagaimana aku menghendaki yang baik pula kepada anak-anakku.
Mereka, para pemuda pengikut iblis, tidak akan berfikir sedikitpun akan nasibmu yang hilang kehormatan dan harga diri.
Mereka tidak akan menyesali akan perbuatannya yang telah membawa engkau kepada kehinaan dan nama baikmu yang telah ternoda.
Apabila itu terjadi pada dirimu, apakah terbukti segala ungkapan manis itu?

Pasti tidak seorangpun akan datang membantumu.
Mereka akan datang, jika engkau masih boleh dinikmati.
Tapi sekiranya engkau sakit atau kecantikanmu menjadi pudar, mereka akan pergi seperti perginya kerumunan anjing yang kehabisan daging bangkai.

Wahai Puteriku,
Itulah nasihatku yang hak dan benar,
mudah-mudahan engkau mahu mendengar.
Jangan engkau dengar ungkapan yang lain,
yang mengajak kepada kelalaian.
Hanya di tanganmu wahai puteriku, bukan di tangan kami kaum lelaki.
Hanya di tanganmu sahaja kunci pintu kebaikan.
Sekiranya engkau mahu memperbaiki dirimu, maka pasti seluruh umat akan
menjadi baik.


No comments:

Post a Comment